Wednesday, December 15, 2010

TUJUAN DAN GALAKAN BERKAHWIN


Firman Allah s.w.t.  di dalam surah al-Rum ayat 21:
Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan-pasangan (jodoh) bagi kamu dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaanNya bagi orang-orang yang berfikir.
 
Di dalam firman Allah s.w.t.  di atas jelas dan nyata sekali akan tujuan sebuah perkahwinan iaitu:
·         Membina kehidupan rumahtangga yang bahagia, aman dan damai. 
·         Untuk mencapai kesatuan jiwa. Mereka sanggup bersama sehidup semati dalam meredah liku-liku dan pancaroba hidup. Manakala setiap kesenangan dan kebahagiaan yang diperolehi akan sama-sama dikecapi. 
·         Hidup saling cinta menyintai, berkasih sayang dan percaya mempercayai. 
Tiga pengajaran utama dari ayat di atas yang digariskan oleh Syeikh Muhamad Ali Qutb melalui bukunya, Tuhfatul Aris wal Arus ialah :

Pengajaran pertama:
Ketenteraman jiwa dari belenggu kemahuan nafsu dalam kehidupan suami isteri merupakan perkara yang asasi. Ketenteraman yang dimaksudkan di dalam ayat di atas terlalu luas pengertiannya, bukan hanya sekadar ketenteraman nafsu syahwat sahaja. Bahkan merupakan suatu kelegaan dan keselesaan dari keresahan, kegelisahan, kesunyian dan kekosongan. Atau dengan makna yang lebih tepat ialah ketenteraman rohani dan ketenangan batin. 

Antara bukti yang nyata sekali ialah zuriat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. terhadap pasangan suami isteri. Ianya banyak mengisi kekosongan ruang yang sedia ada dalam jiwa pasangan ini. Malahan setiap manusia akan merasa kesunyian dan keresahan tanpa zuriat.  Dengan mengendalikan perkara pertama ini dengan berpayungkan al-Quran dan al-Sunah, kebahagiaan dan keharmonian rumahtangga akan sentiasa berada di samping mereka. Sebaliknya, melakukan zina samada dengan perempuan simpanan atau pelacur tidak ke mana arah tujunya. Hanya sekadar mahu mendapat sedikit dari kelazatan hidup. 

Pengajaran kedua:
Rasa cinta yang berbalas. Iaitu yang lahir dari perlakuan antara satu sama lain, dan lahir pula dalam kerjasama serta saling bantu membantu antara suami isteri dan antara keluarganya masing-masing. Dengan semangat kerjasama antara suami dan isteri, begitu juga antara ibubapa dan anak-anak, di mana kesusahan mereka pikul bersama untuk menanggungnya, manakala mendapat kebahagiaan mereka sama-sama mengecapinya, maka darinya akan lahirlah apa yang dinamakan dengan cinta berbalas. 

Pengajaran ketiga:
Rasa kasih sayang, di mana kehidupan manusia akan dirasakan terlalu pincang tanpa perasaan ini. Kasih sayang sebagai ibu, ayah, suami, isteri dan anak.

No comments:

Post a Comment