Wednesday, December 22, 2010

Pantun Semasa Dalam Pertunangan


·         Tempoh yang cukup menyiksakan buat kedua pasangan.
·         Pantun yang dilafazkan penuh emosi,merindui, cemburu, kasih sayang dan sebagainya.
·         Turut mengambarkan harapan dan keserasian di antara pasangan.

Kuda kelabu menyeberang,
Terendam kaki pelananya,
Hati gila mabuk seorang,
Tuanlah sebab kerananya.

Jika tuan pergi ke tanjung,
Saya berkirim pisau lipat,
Jika tuan menjadi burung,
Saya menjadi seorang pemikat.

Jahit setangan pinggir dikelim,
Baik dikelim kembang kelapa,
Rindu dendam ke mana dikirim,
Mahu dikirim kepada siapa.

Buluh perindu di atas gunung,
Habis luruh buah padiku,
Rindu kekanda tiada tertanggung,
Hancur luluh rasa hatiku.

Tujuh hari dalam hutan,
Air tak minum, nasi tak makan,
Sehari tidak pandang tuan,
Rasanya susut tubuh di badan.

Daun dilam di pintu raja,
Bakar capa di pohon lontar,
Siang dan malam teringat saja,
Tiada lupa barang sebentar.

Terang bulan cahaya berseri,
Nampak dilihat jauh saujana,
Seksanya tuan cinta berahi,
Semua dibuat serba tak kena.

Bakar capa di pohon lontar,
Capa tumbuh di dekat kundur,
Tiada lupa barang sebentar,
Hanya sementara waktu tidur.

Di dalam peti di Pantai Katung,
            Di situlah mutiara abang sembunyikan,
Di antara hati dengan jantung,
Di sinilah adik abang tinggalkan.

Nuri hinggap di atas kota,
Dapat ditangkap putera ratu,
Hati di dalam sangat bercinta,
Bila gerangan akan bersatu.

                                                   Kalau tuan berkota batu,
            Sayang penyengat di pucuk nipah,
Kalau tuan berkata begitu,
    Malam Jumaat kita bernikah.

No comments:

Post a Comment