Friday, December 24, 2010

Pantun Selepas Berkahwin


·         Pantun-pantun yang dilafazkan adalah di antara suami dan isteri.
·         Kata-kata yang dilafazkan untuk menggambarkan isi hati dengan cinta, kasih sayang, pengharapan, janji setia dan sebagainya.
·         Melalui pantun-pantun ini menjelaskan betapa murninya ikatan perkahwinan yang dianjurkan oleh agama, kerana melalui perkahwinan itu telah menghalalkan penyatuan dua hati yang saling lengkap-melengkapi, perlu-memerlukan, sehingga berlakunya satu perkongsian hidup yang benar-benar adil, harmonis dan bahagia.
·         Antara pantun-pantun itu ialah ;

Pohon selasih pohon semulih,
Ambil sopan pecahkan santun,
Sudah kita bertambah kasih,
Marilah kita berkarang pantun.

Anak muda berantai dokoh,
Padang luas larian kuda,
     Sekarang baru mendapat jodoh,
barulah puas hati kakanda.

Tuailah padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Intailah kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Layang-layang di atas bukit,
Kayu tengar dari seberang,
Cinta sayang bukan sedikit,
Racun penawar tuan seorang.

Seri Rama menambang tasik,
Tasik ditambang dipadan tetamu,
Sekian lama menanggung kasih,
Baharulah sekarang kita bertemu.

Padi bernama padi belok,
Benih datang dari Palembang,
Serta dapat bunga dijolok,
             Baharulah dapat bunga yang kembang.

Belayar masuk Kuala Kedah,
Patah tiang timpa kemudi,
Sekuntum bunga terlalu indah,
Sekalian kumbang asyik berahi.

Pukul empat pukul lima,
Pukul lapan belum lagi,
Sirih lipat sudah terima,
Badan tuan belum lagi.

Ikan todak dalam perahu,
         Anak syahbandar memangku puan,
           Tidur tak hendak makan tak hendak,
Badan terserah padamu tuan.

Tatang puan tatang cerana,
Datang biduk seri rama,
Datang tuan datang nyawa,
Mari duduk bersama-sama.

Di mana tempat murai berbunyi,
Pokok kekabu di tepi kolam,
Di mana tempat kita berjanji?
Di dalam kelambu di atas tilam.

Di mana kuang bertelur?
Di atas lata, di ruang batu,
Di mana abang nak tidur?
Di atas dada, di ruang susu.

Hanyut batang dari kuala,
Raja mambang berkayuh balik,
Dinda kutatang bagai gemala,
Tempat abang duduk bertelek.

Sedap sungguh belayar kapal,
Kapal masuk sekali setahun,
Sedap sungguh tidur sebantal,
Tangan memeluk kaki memanggun.

Kalau ada kaca di pintu,
Batang dedap di dalam padi,
Kalau kanda kata begitu,
Alangkah sedap di dalam hati.

Kalau tuan menjadi ketua,
Kayu bongkok mari dijulang,
Kalau hendak kita berdua,
Karam perahu sama direnang.

Buah pauh buah kundang,
Buah langsat buah duku,
Duduk jauh berasa bimbang,
Duduk dekat berasa malu.

Banyak sudu dalam peti,
Hendak makan bubur sagu,
Kalau betul setuju di hati,
Mengapa sampai menanggung rindu.

Kalau menyeberang titi hanyut,
Sanggupkah adik berenang ke tepi,
Kalau datang ajal dan maut,
Sanggupkah adik bersama mati.

Kalau kena dengan pasangnya,
Kuda tidak takut pedati,
Kalau kena dengan datangnya,
Dinda tidak takut mati.

Dari Sekukuh mudik ke Benta,
Mudik dengan perahu galah,
Kalau sungguh bagai di kata,
Badan dan nyawa sanggup ku serah.

Kalau roboh kota Melaka,
Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Rasa nak mati di pangku tuan.

Orang Daik bersampan panjang,
Lalu mari laut Burma,
Kasih baik hatiku sayang,
Rasa nak mati bersama-sama.

Burung terkukur terbang menguku,
Makan padi di tapak tangan,
Rasa nak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Gajah langgar kuda beraksa,
Mayang di mana dihempaskan,
Sama lebur sama binasa,
Tuan tiada kanda lepaskan,

Burung merpati terbang seribu,
Hinggap seekor di tengah laman,
Hendak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Anak ruan lima-lima,
Mati ditimpa punggur berdaun,
Kasih tuan saya terima,
Menjadi hutang beribu tahun.

Anak ruan lima-lima,
Mati seekor di atas darat,
Kasih tuan saya terima,
Jadi hutang dunia akhirat.

Ubur-ubur sepinggan dua,
Pakai cincin di hujung jari,
Satu kubur kita berdua,
Dinda di kanan saya di kiri.

Kalau tuan pergi ke hulu,
Carikan saya ikan pelaga,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantilah saya di pintu syurga.

Hari Khamis malam Jumaat,
Sembahyang Subuh pukul lima,
Janji kita biar selamat,
Subur kekal selama-lama.

No comments:

Post a Comment