Tuesday, December 21, 2010

Baru kahwin asyik gaduh

SAYA baru 10 bulan mendirikan rumah tangga dengan suami yang saya cintai. Kami berkahwin atas pilihan sendiri, suka sama suka. Sepanjang perkahwinan ini saya tidak pernah berasa bahagia dan diri saya disayangi.
Pelbagai dugaan yang saya terpaksa hadapi. Orang selalu bercakap pada awal perkahwinan pasti berasa bahagia tetapi saya daripada mula berkahwin sampai sekarang asyik bergaduh saja.

Untuk pengetahuan Dang Setia, suami saya seorang yang terlalu mementingkan kawan dan ego terlalu tinggi. Sampaikan pernah sekali kami bergaduh, dia berkata dia kenal kawannya sejak kecil, saya pula dia baru kenal saja.

Alangkah sedihnya hati saya. Kadangkala saya dimalukan di hadapan kawannya, dia dengan selamba marah-marah saya seolah-olah saya tidak bermaruah. Dia tidak pernah bawa saya keluar berdua kecuali apabila kawannya ada bersama, barulah saya dapat pergi jalan-jalan. Bila nak pinjam duit saya, pandai pula dia baik-baik dengan saya.


Suami saya ini tidak suka dengan keluarga saya, sampai hari raya pun tak nak balik ke kampung saya. Saya duduk dengan mentua, bila hari raya itulah masa saya nak bercuti dengan keluarga, itu pun tak dapat.

Kadangkala saya terfikir kenapa dia buat saya macam ini? Apa salah saya dan keluarga? Bila ditanya pada suami, dia mesti marah dan tidak bertegur sapa dengan saya. Suami saya ini tidak boleh ditegur walaupun perkara yang dibuatnya salah. Bagi dia, dia lelaki dan tahu apa yang dia buat. Dia pentingkan diri sendiri dan tidak boleh dibawa berbincang.

Yang terbaru masalah yang betul-betul menguji kesabaran dan keimanan saya adalah ketika terbaca mesej suami. Kawan dia ajak pergi spa (pelacuran) tetapi Allah masih sayangkan saya, suami tidak ikut kawannya itu tetapi apabila saya teringat-ingat mesej itu, saya jadi sedih dan menyampah tengok muka suami saya dan kawannya itu.

Apa yang patut saya lakukan? Tolonglah Dang Setia, saya buntu, saya sayangkan suami tapi pada masa sama saya benci sikapnya yang suka ikut kawan. Saya sudah tidak percaya kepada dia. Apa yang patut saya lakukan demi menyelamatkan rumah tangga saya ini?

Isteri Merana,
Gombak, Selangor



Malam Isnin lalu, Dang Setia berkesempatan menonton filem Inggeris di saluran HBO mengisahkan pasangan suami isteri yang tidak bahagia biarpun pada awalnya berkahwin atas dasar suka sama suka.

Si suami bekerja sebagai anggota bomba manakala si isteri pula kalau tak silap, pegawai perhubungan awam di sebuah hospital.

Hubungan mereka menjadi dingin kerana si suami tidak mengambil berat mengenai isterinya biarpun pada hakikatnya dia menyintai isterinya.

Beberapa tahun berlalu, si isteri mulai muak dengan perangai dan sikap buruk suaminya termasuk terlalu sibuk bekerja, gemar menonton pornografi dan baran.
Pada masa sama, di hospital seorang doktor muda mula ‘mengayat’ wanita itu hingga hatinya makin ‘cair’.

Si suami mula menyedari sikap buruknya apabila menyedari isterinya semakin dingin. Akhirnya dia merujuk masalah itu kepada bapanya yang kemudiannya memberi beberapa petua termasuk amalan selama 40 hari untuk menjernihkan rumah tangga pasangan berkenaan.

Antara amalan itu termasuk membantu isteri di rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, tidak menonton pornografi dan melakukan perkara murni seperti membayar bil hospital ibu mentuanya tanpa memberitahu si isteri.

Biarpun pada mulanya sudah memfailkan perceraian, hati wanita itu semakin lembut selepas suami menjaganya ketika demam dan ‘cair’ sepenuhnya apabila mengetahui rupa-rupanya suaminya yang membayar bil hospital emaknya, dan bukan doktor muda berkenaan.

Kita tidak perlu mengikut bulat-bulat budaya mat saleh bercinta tetapi sedikit sebanyak jalan cerita itu boleh dijadikan pengajaran dalam menyelesaikan krisis rumah tangga asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Ini kerana, dalam mana-mana agama sekalipun, semuanya mengkehendaki penganutnya berbuat baik cuma penganut sesuatu agama itu saja yang lalai.

Dang Setia syak, suami puan sebenarnya tidak memahami puan sepenuhnya. Dia tidak faham apa yang sebenarnya dimahukan seorang isteri dan wanita dalam sebuah rumah tangga.

Justeru, bagi memulihkan hubungan dengan suami, puan perlu mengenal pasti pendekatan terbaik untuk ‘menjinakkan’ suami dan memastikan dia berubah menjadi suami yang lebih baik pada kaca mata puan.

Bagi Dang Setia, cara untuk ‘memulihkan’ suami bukan suatu yang mudah dan ia memerlukan pendekatan berbeza mengikut karakter sesuatu pasangan. Umpamanya, jika dia seorang yang baran dan memiliki ego tinggi, mungkin puan agak sukar untuk memujuknya bersendirian.

Sehubungan itu, puan boleh menggunakan khidmat orang yang dihormati suami seperti ayah atau ibunya untuk menasihatinya, seperti dalam filem di atas.

Puan tinggal bersama mentua, justeru, puan ada banyak masa berbuat demikian dengan cara berhikmah. Jangan sesekali memburukkan suami biarpun itu hakikatnya.

Lakukan secara berhemah, susun bicara dengan elok supaya keluarga suami dapat memahami penderitaan puan dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

Kalau puan mempunyai hubungan baik dengan mentua, rasanya tiada masalah untuk mereka menyelami perasaan puan dan membantu menyelamatkan bahtera perkahwinan anak dan menantu mereka.

sumber harian metro

No comments:

Post a Comment