Saturday, April 30, 2011

Elak salah rawat

SEKITAR 10 tahun lalu Persatuan Kajian Impotensi Antarabangsa (ISIR) menubuhkan satu jawatankuasa meninjau sejauh mana kaedah dan pendekatan rawatan pembesaran alat kelamin yang dipaparkan sesebuah organisasi atau agensi produk kesihatan melalui laman web mereka berkesan.
Menurut jawatankuasa berkenaan, maklumat diberi sebilangan besar daripada laman web terbabit mengelirukan dan tidak boleh diterima secara saintifik kerana tiada kajian mengenai kaedah dan pendekatan untuk pembesaran anggota kelamin lelaki yang dipaparkan.

Kebanyakan laman web berkenaan menggunakan ‘testimoni’ dan untuk menguatkan lagi pasaran produk, mereka menjadikan pendekatan jaminan pulangan semula wang jika pelanggannya tidak mendapat perubahan.

Bagaimanapun, jaminan pulangan semula wang disertakan dengan beberapa banyak syarat dan di sebaliknya memang sukar mendapatkan semula wang seperti dijanjikan! Berikutan itu, jawatankuasa ISIR mencadangkan masalah berkaitan saiz dan bentuk anggota kelamin lelaki memang perlu diberi perhatian.

Mereka berpendapat lelaki yang yakin mengalami masalah sedemikian perlu merujuk kepada doktor berkaitan untuk menjalani pemeriksaan dan mendapat bimbingan serta rawatan.

Malangnya, mesej ini tidak sampai kepada orang ramai dan juga kepada lelaki yang tidak yakin mengenai saiz dan bentuk anggota kelamin mereka walaupun anggota itu normal daripada segi baka dan keturunan.


Mengenai produk herba yang sesetengah orang gunakan seperti ‘Vimax’ yang kononnya dapat bantu memantapkan anggota kelamin lelaki, boleh dikatakan kekuatan produk itu gah kepada ‘strategi pemasaran’ saja.

Tiada kajian mutlak mengenai produk itu, hanya ramuannya iaitu herba tertentu seperti ‘tribulus, damiana epimedium dan maca yang kononnya dapat mengubah struktur serta metabolisme anggota kelamin lelaki.

Semua maklumat berkenaan hanya diceduk daripada kajian makmal dan tiada kajian klinikal. Semua ramuan herba itu ada dalam kebanyakan makanan tambahan herba yang dijual di pasaran dan boleh membelinya dengan mudah dan murah.

Malangnya, makanan tambahan berkenaan hanya untuk kesejahteraan badan dan tidak lebih daripada itu! Produk itu tidak akan menambah saiz alat sulit atau memantapkan ereksi supaya berdaya tahan atau memberi klimaks bergelora.

Jika mengamalkan gaya hidup sihat, tubuh badan akan berfungsi dengan baik. Jika seseorang itu benar-benar ada isu saiz atau tidak yakin dengan bentuk anggota kelamin, rujuk kepada doktor.

Pastikan doktor yang dirujuk itu bertauliah, maksud saya dia ada sijil pendaftaran sebagai doktor, kerana sangat ramai pengamal perubatan bukan doktor mengaku handal dan pakar dalam bidang membesarkan anggota kelamin lelaki.

Mereka tidak teragak-agak menyuntik anggota kelamin lelaki dengan minyak atau cecair yang kononnya boleh membesarkan alat sulit dan apabila anggota kelamin itu radang mereka tidak tahu mengambil tindakan selanjutnya, sebaliknya menghilangkan diri.

petikan harian metro ahad

No comments:

Post a Comment