Tuesday, May 3, 2011

Sindrom keluaran

SAYA dan suami berkahwin lima tahun lalu tapi belum dikurniakan zuriat. Adakah tempoh hubungan kelamin yang singkat menipiskan kebarangkalian untuk hamil? Saya tidak pernah berasa puas dalam hubungan sebab suami terlalu cepat ejakulasi, sedangkan saya perlu masa untuk terangsang.
Apakah ubat yang boleh kami suami isteri ambil untuk dapatkan kehangatan hubungan? Kadangkala ia memberi tekanan kepada saya kerana risau suami bermasalah disebabkan alat kelaminnya cepat kendur dan lembik.
Kami pernah dapatkan rawatan klinik swasta. rancang untuk kehamilan. Doktor maklumkan saya yang bermasalah, hormon saya tidak stabil dan punyai sindrom pengeluaran telur dikenali sebagai PCOS.

Ujian air mani suami pula tiada masalah. Saya sangat keliru sekarang kerana ubat dan rawatan yang saya ambil masih tidak membuahkan hasil, sedangkan doktor katakan ia berpunca daripada saya.

Saya masih ingat 25 tahun lalu ketika mengendalikan kes kesuburan, pasangan suami isteri lebih muda dan isteri lebih terbuka untuk berjumpa doktor daripada suami.

Kemudahan rawatan dan perubatan kesuburan ketika itu tidak seperti yang ada sekarang. Kini kos rawatan lebih murah kerana banyak saingan dan ramai doktor juga tahu cara mengendalikan masalah kesuburan, termasuk kemudahan perubatan kesuburan di klinik kerajaan.

Jadi tiada sebab mengapa pasangan suami isteri yang belum menimang cahaya mata tidak mendapat rawatan moden untuk menjalani pemeriksaan kesuburan. Anda dan pasangan berkahwin lima tahun. Kemungkinan mendapat kehamilan dalam tahun pertama kahwin ialah anggaran 10 hingga 15 peratus jika hubungan kelamin dilakukan tiga kali atau lebih seminggu. Apabila masuk tahun kedua dan seterusnya, kadar peratusan semakin kurang.

Cepat klimaks tidak menyebabkan masalah kesuburan jika air mani masuk ke dalam alat sulit wanita. Kepuasan wanita bukan isu sukar hamil, yang penting air mani masuk ke dalam alat sulit wanita yang mampu menghasilkan telur.

Anda sudah mendapatkan khidmat nasihat doktor untuk mendapat rawatan kesuburan dan doktor juga mengesahkan anda ada masalah pengeluaran telur yang dikenali sebagai PCOS.

Suami anda tiada masalah sperma. Untuk masalah PCOS yang anda alami, doktor sudah memberi ubat. Jika ubat itu berkesan, putaran haid anda akan menjadi lancar dan tetap yang secara tidak langsung menandakan putaran haid anda jenis yang dapat mencetuskan telur.

Jika ini tidak berlaku, doktor anda akan beri rawatan susulan lebih mujarab dalam bentuk suntikan hormon. Anda perlu ikut nasihat doktor dan teruskan rawatan.


petikan harian metro ahad

No comments:

Post a Comment