Saturday, May 14, 2011

Asal rombongan peminangan

Dalam kerajaan Melayu lama, raja-raja Melayu akan membawa rombongan peminangan beserta beberapa dulang buah tangan daripada pihak lelaki sebagai hadiah kepada pihak perempuan. Dalam hal ini, perkara ini menjadi ikutan masyarakat pada zaman tersebut untuk membawa sesuatu pada urusan peminangan sebagai sesuatu yang disebut hantaran. Perbezaannya, raja-raja pada zaman tersebut hanya membawa buah tangan yang diberikan ikhlas kepada pihak perempuan tanpa meletakkan apa-apa syarat. Ia sekadar sebagai tanda hormat supaya tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya, masyarakat Melayu menjadikan ia sebagai perkara wajib dan meletakkan bilangan-bilangan dulang tertentu serta budget sesuatu hantaran.

Setelah urusan peminangan selesai dan sebelum pihak lelaki beransur pulang membawa kembali dulang yang dibawa tadi, pihak perempuan akan memberikan buah tangan dari pihak mereka supaya pihak lelaki tidak kembali dengan dulang kosong. Ia bukan atas permintaan pihak lelaki atau persetujuan mana-mana pihak. Apa yang menjadi kebiasaan masyarakat Melayu pada hari ini, pihak lelaki akan membawa dulang berisi hantaran dari pihak mereka dan pihak perempuan akan memberi hantaran dalam dulang yang berlainan dan kebiasaannya diberikan dalam bilangan yang ganjil. Selain itu, ada juga yang meletakkan sebagai wajib bagi pihak perempuan untuk membalas dalam bilangan yang lebih.

Thursday, May 12, 2011

Soal Jawab Mengenai Peminangan

"Jika salah seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang wanita untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah dikira bertunang walaupun ibubapa wanita itu belum lagi tahu dan kenal akan pihak lelaki. Adakah dikira betunang? Mohon penjelasan."

Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bermula akan makna PINANG dalam Islam atau hukum Feqah. Pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Ustaz Azhar turut memberikan beberapa contoh peminangan samada melalui panggilan telefon mahupun SMS sebagaimana teknologi yang sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Menurut pendapat ini, apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan setuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut dan sesiapa yang tahu akan perkara tersebut dan masuk meminang pada masa berikutnya, hukumnya adalah haram.

Mengikut penjelasan Ustaz Azhar lagi, apa yang dipraktikkan oleh masyarakat Melayu moden pada hari ini dengan kehadiran rombongan majlis pertunangan dengan membawa hantaran adalah merupakan sekadar adat sahaja dan perkara kedua selepas hukum Islam yang utama.

Persoalan seterusnya mengenai kehadiran atau pengetahuan ibubapa apabila pihak wanita itu menjawab secara bersendiri akan hasrat pihak lelaki, adakah dikira sebagai bertunang juga?

Dalam menjelaskan hal ini, Ustaz Azhar menerangkan bahawa jika perempuan itu yang persetujuannya sah pada syarak maka dengan ini pertunangan ini adalah sah. Bagaimana yang disebut ulamak sebagai perempuan yang persetujuannya sah pada syarak? Mereka adalah perempuan-perempuan yang waras, perempuan yang telah baligh, perempuan yang cerdik dan perempuan yang boleh membawa diri.

Yang berhajat hanya dengan persetujuan wali atau persetujuannya tidak sah pada hukum syarak antaranya adalah perempuan yang belum baligh, perempuan yang jenis lemah akal fikirannya atau seorang perempuan yang gila.

Apabila mendengar jawapan daripada Ustaz Azhar Idrus ini, ternyata hukum Islam itu amat mudah dan proses menjejakkan kaki ke alam rumahtangga itu tidak sesukar sebagaimana yang kita bayangkan. Namun begitu, kita dibayangi oleh adat yang terpaksa kita tanggung untuk memenuhi kemahuan keluarga serta menjaga kepentingan pandangan masyarakat yang penuh dengan adat isiadat.

Dalam video lainnya pula, Uztaz Azhar turut menyatakan bahawa walaupun telah menjadi tunangan orang, dia bukanlah hak mutlak kita. Tidak ada perkara yang wajib untuk seseorang itu mengikuti kehendak tunangannya. Andai perempuan itu tidak suka dan kemudian berkahwin dengan orang lain, maka ia adalah sah

Tuesday, May 3, 2011

Sindrom keluaran

SAYA dan suami berkahwin lima tahun lalu tapi belum dikurniakan zuriat. Adakah tempoh hubungan kelamin yang singkat menipiskan kebarangkalian untuk hamil? Saya tidak pernah berasa puas dalam hubungan sebab suami terlalu cepat ejakulasi, sedangkan saya perlu masa untuk terangsang.
Apakah ubat yang boleh kami suami isteri ambil untuk dapatkan kehangatan hubungan? Kadangkala ia memberi tekanan kepada saya kerana risau suami bermasalah disebabkan alat kelaminnya cepat kendur dan lembik.
Kami pernah dapatkan rawatan klinik swasta. rancang untuk kehamilan. Doktor maklumkan saya yang bermasalah, hormon saya tidak stabil dan punyai sindrom pengeluaran telur dikenali sebagai PCOS.

Ujian air mani suami pula tiada masalah. Saya sangat keliru sekarang kerana ubat dan rawatan yang saya ambil masih tidak membuahkan hasil, sedangkan doktor katakan ia berpunca daripada saya.

Saya masih ingat 25 tahun lalu ketika mengendalikan kes kesuburan, pasangan suami isteri lebih muda dan isteri lebih terbuka untuk berjumpa doktor daripada suami.

Kemudahan rawatan dan perubatan kesuburan ketika itu tidak seperti yang ada sekarang. Kini kos rawatan lebih murah kerana banyak saingan dan ramai doktor juga tahu cara mengendalikan masalah kesuburan, termasuk kemudahan perubatan kesuburan di klinik kerajaan.

Jadi tiada sebab mengapa pasangan suami isteri yang belum menimang cahaya mata tidak mendapat rawatan moden untuk menjalani pemeriksaan kesuburan. Anda dan pasangan berkahwin lima tahun. Kemungkinan mendapat kehamilan dalam tahun pertama kahwin ialah anggaran 10 hingga 15 peratus jika hubungan kelamin dilakukan tiga kali atau lebih seminggu. Apabila masuk tahun kedua dan seterusnya, kadar peratusan semakin kurang.

Cepat klimaks tidak menyebabkan masalah kesuburan jika air mani masuk ke dalam alat sulit wanita. Kepuasan wanita bukan isu sukar hamil, yang penting air mani masuk ke dalam alat sulit wanita yang mampu menghasilkan telur.

Anda sudah mendapatkan khidmat nasihat doktor untuk mendapat rawatan kesuburan dan doktor juga mengesahkan anda ada masalah pengeluaran telur yang dikenali sebagai PCOS.

Suami anda tiada masalah sperma. Untuk masalah PCOS yang anda alami, doktor sudah memberi ubat. Jika ubat itu berkesan, putaran haid anda akan menjadi lancar dan tetap yang secara tidak langsung menandakan putaran haid anda jenis yang dapat mencetuskan telur.

Jika ini tidak berlaku, doktor anda akan beri rawatan susulan lebih mujarab dalam bentuk suntikan hormon. Anda perlu ikut nasihat doktor dan teruskan rawatan.


petikan harian metro ahad

Sunday, May 1, 2011

Hajat pantas

SAYA mungkin mengalami masalah pancutan air mani.
Pada pandangan doktor, adakah kadar kekuatan pancutan air mani mempengaruhi orgasm isteri?
SUAMI RUNSING

Pancutan air mani berlaku apabila lelaki itu mencapai klimaks atau kemuncak rangsangan seksual. Ketika dalam keadaan terangsang, semua otot yang terbabit dalam menjayakan penetrasi seperti otot lantai pelvis atau otot kemut serta otot lain otot punggung, otot belakang, otot paha dan semua otot badan berada dalam keadaan tegap dan aktif.

Sistem pancutan juga berada dalam keadaan mantap. Apabila seseorang lelaki mencapai klimaks, sistem pancutan menjadi aktif dan air mani terkeluar secara pancutan dengan cengkaman otot lantai pelvis atau otot kemut yang berlaku secara spontan.

Apabila lelaki itu cuba mengawal ejakulasi dengan hasrat melengahkan ejakulasi secara kemutan, daya ejakulasinya akan terbantut dan air maninya akan keluar secara meleleh.

Sistem pancutan turut menjadi kurang bersemangat apabila umur lelaki itu meningkat dan otot yang mengawal pancutan juga menjadi lemah akibat perubahan umur dan kurang daya fizikal.

Jika ingin mencapai ejakulasi lebih dinamik, lelaki itu perlu mengekalkan gaya hidup sihat seperti melakukan senaman berkala supaya otot badan menjadi kuat.

Paling tidak, cuba lakukan lakukan senaman kemut (senaman Kegel) dan elakkan mengemut ketika ejakulasi berlaku supaya daya pancutan lebih mantap.